Friday, 30 August 2013

Merdeka! Merdeka! Merdeka!



31 Ogos - Salam Kemerdekaan...Salam Kebebasan...semoga kita rakyat Malaysia menghargai dan memahami erti Merdeka...

Sebagai anak yang lahir selepas Merdeka..ia sesuatu yang cukup bermakna..benar saya tidak merasai keperitan mereka yang terdahulu...namun hati saya amat mencintai negara Malaysia...di sini tumpahnya darah kelahiran saya..dan di sini saya dibesarkan ....i love Malaysia...

Uniknya Malaysia..ia dihuni oleh pelbagai kaum..yang bersatu dibawah satu negara ...MALAYSIA...semoga kita kekalkan semangat perpaduan ini kerana apabila timbulnya rasa iri hati, hasad dengki, akan berlaku pengkhianatan sesama sendiri...jadi teguh bersatu demi anak - anak bangsa kini dan akan datang...semoga anak-anak kita serta cucu cucu kita mewarisi kehebatan negara seperti hebatnya Kesultanan Melayu Melaka dahulu...

MERDEKA...bukan hanya untuk negara tetapi juga untuk diri sendiri...minda dan kehidupan...dengan dunia yang tiada sempadan...cubalah kita mengambil yang baik untuk diri dan buruk dibuang ketepi..jangan jadi bangsa yang suka copy and paste tanpa memikirkan ia memberi kebaikan ataupun keburukan ...jadikanlah keindahan Islam itu sebagai kehidupan kita....semoga setiap langkah kita dibumi ALLAH ini sentiasa ada DIA di hati...Insyaallah..kehidupan lebih diberkati dan MERDEKA yang sebenar akan dikecapi...

Salam Kemerdekaan 

jumpa lagi...

Wednesday, 21 August 2013

RAHSIA DI SEBALIK PANGKAL HURUF NAMA KITA

~huruf A~
 
> Ramah dan murah senyuman.Mereka juga pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan selain bijaksana dan cerdas.Kelemahannya, sangat mudah berasa hati, dan mudah mengeluarkan kata-kata pedas ketika meluahkan perasaan marah. Meskipun begitu marahnya mudah reda.

~huruf B~

> Selalu tenang dalam menghadapi masalah yang rumit dan membahayakan dirinya adalah ciri penampilannya.Mereka juga sangat setia dan penyabar, yang menjadikannya amat disenangi dalam pergaulan. Kelemahannya sangat mudah tersinggung.

~huruf C~

> Ramah dan pandai berbicara.Ini yang menjadikannya popular di kalangan rakan-rakan. Mereka tidak bersungguh dalam bertindak dan selalu menganggap masalah yang dihadapi adalah remeh.

~huruf D~

> Pendiam, bercakap hanya bila perlu. Sopan, berdisiplin dan kuat bekerja. Kelebihannya itulah yang menghasilkan kejayaan dalam mencapai cita-cita. Kelemahannya adalah selalu bimbang dan sukar mempercayai orang lain.

~huruf E~

> Pandai dan penuh pertimbangan dalam menjalankan tanggung jawab. Sikapnya periang bila hatinya senang, tetapi suka berdiam diri apabila hatinya gundah dan boleh membuatkan hati orang lain terluka.

~huruf F~

> Punya pendirian yang teguh, tidak mudah goyah dan keras kepala.Mereka juga sukar memaafkan.Tidak setia dan amat berhati-hati bila berbelanja.


~huruf G~

> Kerap murung dan bersedih hati. Pendiriannya mudah dipengaruhi. Tekun belajar ketika rakannya bermalas-malasan dan sebaliknya suka bermalas-malasan ketika rakannya sedang tekun.

~huruf H~

> Mudah simpati, bahasanya lemah-lembut. Tidak pernah melukai perasaan orang lain. Selalu tergesa-gesa dalam melakukan pekerjaan, suka berkhayal dan bercita-cita terlalu tinggi.

~huruf I~

> Suka memendam perasaan dan permasalahan. Mereka juga mudah merasa curiga dan cemburu terhadap orang lain. Suka menangis.

~huruf J~

> Ramah dan murah senyuman. Mereka juga pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan. Mudah merasa ragu dalam membuat keputusan dan tidak tegas.

~huruf K~

> Pandai berjenaka. Hari-harinya sentiasa ceria walaupun perasaannya gundah. Kelemahannya suka bercerita rahsia.

~huruf L~

> Ramah dan pandai bergaul dan mempunyai ramai kawan. Tidak suka bergosip dan mencampuri urusan orang lain. Amat berhati-hati bila berbelanja. Kelemahannya tidak menepati masa.


~huruf M~

> Pandai dan kreatif, suka kelembutan dan jika dikongkong, mereka akan memberontak. Senang dijadikan sahabat, kerana mereka tidak berkira. Kelemahannya boros dan keras kepala.

~huruf N~

> Baik hati dan rapi dalam berpakaian. Mereka suka menghulurkan tangan menolong orang lain tanpa memikirkan balasan. Kelemahannya mudah bersedih hati dan kurang percaya diri.

~huruf O~

> Serba boleh. Suka memendam perasaan dan permasalahan serta sukar mempercayai orang lain. Akibatnya ramai yang menggapnya sombong dan suka memilih teman.

~huruf P~

> Pandai berjenaka dan selalu ceria. Punya banyak idea dan sangat kreatif. Sering melakukan sesuatu yang belum dilakukan orang lain. Agak pendendam dan boros.

~huruf Q~

> Setia dan mudah memaafkan orang lain. Suka meluangkan waktunya untuk kawan-kawan. Keras kepala, sukar diatur dan mudah emosi.

~huruf R~

> Pendiam dan bercakap hanya bila perlu. Tekun dengan kerja yang disukai dan bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita. Suka mengkritik. Dan sukar mengawal bicara ketika marah.


~huruf S~

> Pandai dan tekun dalam mengejar cita-cita. Tidak suka pada orang yang suka memungkiri janji.Kelemahannya mudah tersinggung selain sukar menahan emosi. Jika sudah emosi marahnya meledak-ledak.
~huruf T~

> Sangat berdisiplin. Selalu mengerjakan sesuatu menurut aturan buku. Tidak suka mengelamun atau bermalas-malasan. Suka menonjolkan diri selain senang gugup, terutama bila bersalah.

~huruf U~

> Suka berterus-terang dan menyendiri. Naif baginya merugikan orang lain. Tidak tahan dengan kritikan dan kurang pandai menyusun kata-kata jika berbicara didepan orang ramai.

~huruf V~

> Tutur katanya lembut dan pemalu. Pandai meyesuiakan diri.Selain itu, mereka juga pandai menguasai orang disekitarnya dengan cerita-cerita yang memikat. Tidak suka berterus terang.

~huruf W~

> Ramah dan mudah simpati. Sikapnya amat menawan. Punya toleransi yang tinggi dan ringan tangan. Keras kepala dan sukar diatur, tetapi hatinya boleh dilembutkan dengan kesabaran dan kelembutan.

~huruf X~

> Budi pekertinya halus. Suka melakukan pekerjaan sosial. Mudah tersinggung dan tidak akan berbaik dengan mereka yang menyinggungnya.

~huruf Y~

> Pendiam dan tidak suka menonjolkan diri. Ramai menganggapnya sombong walaupun sebenarnya mereka adalah sahabat yang baik. Tidak berani mengemukakan pendapat.

~huruf Z~

>Pandai berjenaka dan menyesuaikan diri dalam pergaulan. Suka disapa terlebih dulu dan gemar menonjolkan diri.
p/s : betul atau tidak...
 

Tuesday, 20 August 2013

Cara Murah Cuci Buah Pinggang

Buah pinggang merupakan salah satu organ badan paling penting kerana buah pinggang berfungsi untuk menapis segala makanan, minuman dan ubat-ubatan yang telah memasuki badan kita.

Jom ketahui cara membersihkan buah pinggang secara natural.

Caranya:

1. Beli daun parsli / ketumbar ini dengan harga RM1.00 atau kurang
2. Basuhkan (dicadangkan dgn air mineral) hingga bersih dan potong daun ini kecil2
3. Masukkan daun2 kecil ini ke dalam periuk dan masukkan air bersih.
4. Rebuskan daun2 ini selama 10 ke 20 minit
5. Setelah mendidih, biarkan air rebusan itu sejuk
6. Bila sudah sejuk, tapiskan untuk asingkan daun2 dari air nya
7. Tuang dan simpan air rebusan ini di dalam bekas atau botol yang bersih dan simpan di dalam peti ais untuk sejukkannya
8. Kemudian amalkan meminum segelas sehari dari air rebusan ini
9. Jika di amalkan selalu, anda dapati garam dan bahan-bahan lain yang terkumpul di dalam badan, akan keluar melalui pembuangan air kecil.

Anda pasti akan merasai perbezaan diri anda yang anda tidak pernah rasai sebelum ini.


p/s : info ini saya kongsikan dari DEE GYM Supplements...Insyaallah saya nak cuba..hehehehe..memang sesuai untuk saya...kepada kengkawan yang nak cuci buah pinggang..jom sama sama kita cuba..semoga ada hasilnya...

Wednesday, 31 July 2013

Hanya Luahan Rasa(2)

Assalamualaikum...dh minggu minggu terakhir berpuasa...baru nak menulis entry baru..dah berhabuk blog ni ...kena kemas kan..so apa yang aku nak tulis ni hanya luahan rasa..lagipun semakin hujung hujung Ramadan ni aku memang takde mood nak raya...apatah lagi ada kerja yang masih tertangguh...kerja apa...hemmm agak rahsia...hehehe..lagipun tahun ni anak anak beraya dengan bapa dan keluarga mertua...opsss bukan bekas mertua yer sebab takde istilah bekas kerana sampai mati pun mereka tetap mertua aku walaupun hakikatnya mereka membenci aku ....biarlah..hati dan perasaan mereka aku tak boleh kawal..semoga Allah memberi mereka hidayah dan kesedaran bahawa ini semua adalah takdirNya..

Dan aku bila berjumpa dengan insan senasib..terasa tersentuh hati ini bila mereka berceritakan apa yang menimpa mereka...dan akhirnya penceraian juga menjadi pilihan...hemmm apabila seseorang suami itu memiliki sifat dan sikap panas baran memang susah untuk berubah...tidak kira berapa lama anda berada bersamanya..

Bagaikan kisah itu berulang..mereka juga merasainya dan memang benar hanya insan yang pernah merasai penderitaan ini akan memahami perasaan masing-masing. Tapi sedih bila ia berlaku perempuan juga disalahkan..isteri juga dikatakan jahat...Ya Allah ingatkan aku sahaja yang dituduh begitu oleh orang sekeliling. Habis..nak tunggu apa lagi..nak tunggu jasad menjadi kaku ditangan lelaki seperti ini. Sedih bila memikirkannya..kerana aku di saat ini masih ada yang memandang serong kepada janda seperti aku...tapi aku kini bahagia...bahagia kerana sudah tamat rasa derita itu...

Jika sahabat sahabat diluar sana sedang berbahagia dengan pasangan masing-masing..bersyukurlah dan sentiasa berdoa supaya Allah memberi keberkatan dalam kehidupan anda semua. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa rahsia disebalik kehidupan setiap insan...ada yang bahagia, gembira,ada yang derita, tetapi yang pasti setiap dugaan hidup yang diberi oleh Allah itu sebenarnya untuk menguji iman kita..di mana tahap keimanan kita..dan yang penting 'rasa' yang hanya Allah itu penolong dan penyelesaian segala masalah...saya gembira anda bahagia...dan doakan juga kebahagiaan saya satu hari nanti...Insyaallah..

jumpa lagi

Tuesday, 9 July 2013

Selamat Berpuasa Sahabat

Assalamualaikum..sahabat

Esok adalah 1 Ramadan...tanda mulainya umat Islam berpuasa...Selamat Berpuasa..selamat menjalani ibadah puasa ini dengan penuh kesederhanaan namun lebihkan beribadat...jangan terbalik pulak yer kengkawan...jangan sentiasa ingat resepi apa untuk berbuka hari ini..esok..lusa..dan seterusnya...jangan pula berkira-kira untuk membeli persiapan raya dengan berlebihan kerana pada saya berhemahlah dalam membuat perbelanjaan menyambut lebaran nanti...

Tepuk dada tanya iman...semoga Ramadan kali ini memberi keberkatan kepada hidup kita semua...sinarilah hati dan diri kita dengan cahaya Ramadan..

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'd Radhiallahu 'anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: "Dimanakah orang-orang yang berpuasa?" Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorangpun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorangpun yang masuk dari padanya." (Hadith riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah ra. bahwa Nabi saw. bersabda: "Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:

1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kesturi.


2. Para malaikat selalu memintakan ampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.


3. Setiap hari Allah menghias syurgaNya sambil berkata, 'Hamba-hamba Ku yang saleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'


4. Pada bulan ini diikatlah setan-setan yang durhaka sehingga mereka tidak leluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.


5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, karena orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.' (HR Ahmad)
 



Monday, 24 June 2013

Tips Penjagaan Kaca Mata.

1. Gunakan bekas yang sesuai dengan saiz kaca mata anda. Bekas yang terlalu kecil akan merosakkan lensa dan bingkai. Selepas menggunakan kaca mata, bungkus dalam kain pembersih lensa sebelum menyimpannya di dalam bekas. Ia akan mengelakkan lensa calar.

2. Jangan lokek mengeluarkan belanja untuk servis kaca mata anda. Lakukan pemeriksaan pakar optik sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan kaca mata berada dalam keadaan yang baik.  

3. Kaca mata tidak berbingkai lebih mudah patah berbanding kaca mata berbingkai keluli. Jangan cuba memperbaiki kaca mata anda bagi mengelakkan kerosakan pada lensa atau bingkai sebaliknya servis di kedai optik.

4.  Jangan sesekali mengubah bentuk, memperbaiki atau mengubah suai kaca mata anda. Ini akan merosakkan bingkai. Bingkai kaca mata yang tersalah kedudukan akan menyakitkan hidung dan telinga atau bingkai tiba-tiba terjatuh. Lensa juga mungkin akan jatuh daripada bingkai.

5. Usah mengelap kaca mata semasa kering. Biasakan mencelup lensa ke dalam air bagi menghilangkan debu yang boleh menyebabkan lensa bercalar.

6. Basuh bingkai dan lensa sekerap mungkin dengan pencuci lembut dan air suam bagi menghilangkan minyak dan kotoran.

7. Elakkan membuka kaca mata dengan menggunakan sebelah tangan. Ia mungkin akan menyebabkan kaca mata menjadi longgar atau patah. Sebaliknya, gunakan kedua-dua tangan bagi mengelakkan kerosakan pada bingkai dan lensa.

8. Ketika membersihkan lensa, pegang bingkainya dengan cermat. Gunakan tisu lensa atau kain yang sesuai agar lensa tidak rosak.

9. Jangan meletak kaca mata atas permukaan yang kasar kerana lensa mungkin akan tergesel atas permukaan dan menyebabkan ia tercalar.

10. Jangan biarkan kaca mata di dalam kereta dan terdedah pada cahaya matahari.

11. Jangan pakai kaca mata semasa di dalam sauna atau mandi wap.

12. Elakkan daripada udara panas seperti dekat dengan air panas yang sedang menggelegak.

Sumber : Majalah Wanita
 

Thursday, 13 June 2013

Hidup Dan Mati Hanya Untuk Mu

Hati sedang merindu...rindu dengan kedamaian dan keindahan rasa ini.....bahkan nikmat dunia ini tidak mampu menandingi kedamaian ini...inilah rasa yang dicari cari dalam hidup...Alhamdulillah ia bertemu jua..syukur kerana aku sudah mengenali siapa diriku...kembali kepada fitrah kerana aku adalah hamba Allah...ingin aku berbakti untuk Mu seumur hidupku...kerana hidup dan matiku kini hanya untuk Mu..dan terimalah hamba ini dengan kasih dan sayang Mu...


Tuesday, 4 June 2013

Pesanan Imam Al-Ghazali


Alahai...

Hari ni agak lemah ..kenapa..akhir akhir ini badan agak sakit sakit dan sengal sengal...sendi pun terasa sakit sakit dan pedih...dan hari ni agak lewat masuk opis sebab pagi tadi bila bangun terasa sakit pinggang dan juga sakit kepala mula menyerang...jadi ambil masa untuk pulih kembali...rehat dan baring ...nasib baik hari ni ABC..so tak ada la tergesa gesa untuk bangun...nak tak nak kena juga berbaring sebentar...dua tiga kali bangun tetapi masih sakit...hemmm ingat nak ambil MC sahaja..ye la..sudah lewat..sakit pun masih tak menunjukkan tanda tanda akan baik ...

Jadi kembali tido..dan bangun jam 8 pagi...cuba juga bangun...dan melangkah juga untuk ke bilik air..mandi dan bersiap..hemmm memang lambat la...tapi memikirkan ada kerja yang belum selesai di opis..gagahkan juga..lambat pun lambat la..janji datang...

Dan akhirnya sampai juga opis jam 10 pagi...sekarang ni pun dah terasa badan melayang-layang..kepala mula pening-pening ....dan hari ini cuba tak nak makan...nak tengok ketahanan badan...boleh atau tidak sebab dulu sakit ini adalah penyebab utama aku tak boleh berpuasa penuh...memang tak boleh tahan..terlalu sakit bahkan pernah hanya kerana nak berpuasa akhirnya aku dikejarkan ke klinik dan diberi injection...dan kena marah dengan doktor sebab paksa diri untuk berpuasa..uhhuu...sedih...bukan best pun tak puasa sebenarnya sebab bila hari raya tak rasa kemeriahannya...sebab tak dapat puasa ...sebab orang tak puasa tak leh raya kan..uhhuuu....

Sekarang tengah berubat secara kampung atau tradisional...untuk buang batu karang ni..batu ni dah terlalu dekat dengan buah pinggang..jadi apabila batu karang ni bergesel dengan buah pinggang itu yang menyebabkan sakit...harap batu ni leh pecah sendiri..tengok keputusan seminggu dua nie..harap harap ada perubahan positif...tak nak ke hospital..nanti kena cucuk sana cucuk sini..sakit woooo...dah tua tua ni badan pun tak tahan sakit hehehehe...

Harap semuanya dipermudahkan..semoga Allah memberi kesembuhan atas penyakit ini...kita berusaha dan semoga Allah mengizinkannya ...Insyaallah...

jumpa lagi...

p/s : Jika dirimu diuji dengan ujian dan dugaan..Ingatlah ia adalah kerana Allah menyayangimu...Jangan pernah lupa itu ...(peringatan untuk diriku yang sentiasa dilanda dugaan hidup di dunia yang tidak kekal ini )

Friday, 31 May 2013

Rindu Hati Ingin Ke Sana....

Cuti sekolah...hemmm takde yang istimewanya...ye la...nak ke mana..kerja macam biasa..dan anak anak dah balik ke kampung bekas suami di Lipis Pahang...so tak ada aktiviti untuk bercuti...tapi hati rindu nak ke satu tempat...dan rasanya nak bermalam di sana...ingin merasa ketenangan malam di sana sambil menikmati keindahan pantai.....rindu benar suasana di sana...

Dulu pertama kali menjejakkan kaki ke sana, kira-kira 2 tahun lalu...terasa kedamaiannya ...hilang segala masalah yang melanda ketika itu..konflik rumahtangga....yang ada hanya kedamaian dalam hati...melawat makam makam indah milik wali wali Allah...sangat mengujakan...pelik kenapa orang kata pulau ini 'keras' kerana ada sesuatu di sana...ya tak dinafikan ketika pertama kali berada di sana terkejut kerana ada yang melakukan penyembahan..bahkan ada orang bukan Islam yang datang meminta hajat...sedih kerana pulau ini terlalu terbuka kepada orang yang bukan sepatutnya datang...malah liputan di tv juga banyak memaparkan dari sudut negatif...entah la..bagiku datang dengan niat yang baik dan suci Insyaallah ada kebaikannya..bukan datang dengan sesuatu'niat' lain takut terpesong nanti...jatuh akidah yang perlu dan penting untuk dijaga...

Pertama kali datang...bagaikan suatu mimpi kerana dapat memasuki kawasan di dalam makam yang sentiasa ditutup dan dijaga...itulah makam As Sheikh Sultanul Ariffin R.A...Beliau adalah cucu ke 18 dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w...Nama sebenar beliau ialah Sheikh Ismail Abdul Qadir dan merupakan cicit kepada Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani. Rasa tenang dihati melihat makam beliau.....nak tahu lebih lanjut tentang Sultanul Ariffin boleh cari cari maklumatnya di internet...banyak...kenapa beliau singgah dan menetap di pulau ini juga ada diceritakannya...di dalam makamnya yang besar itu juga bersebelahannya adalah makam tok gurunya iaitu Syeikh Yussuf...Sempat juga ke makam Syarifah Rodziah iaitu anak kepada Sultanul Ariffin. Al-Fatihah untuk wali wali Allah ini...

Kemudian kaki terus melangkah mencari makam makam wali wali lain..makam tujuh beradik...tetapi telah dipindahkan kerana tempat tersebut jadi perhatian upacara kurafat oleh mereka yang tak bertanggungjawab...kemudian ke makam nenek kebayan dan disebelahannya terdapat perigi nenek kebayan tersebut...banyak misteri yang diceritakan oleh orang ramai terhadap perigi ini...kemudian mendaki lagi ke satu kawasan iaitu batu belah..dipercayai batu ini dibelah dengan hanya menggunakan lidah oleh Panglima Lidah Hitam...jika diperhatikan batu ini memang terbelah dua dan belahannya licin...sebenarnya pulau ini selain dikenali sebagai tempat penyebaran agama Islam yang terawal di nusantara pulau ini juga tempat sekumpulan pendekar dan juga pahlawan datang berguru..bahkan dipercayai Hang Tuah lima bersaudara juga pernah berguru di pulau ini. 

Dan kali kedua datang niat di hati untuk ke Gua Yunus...Gua Yunus diberi nama kerana beliau adalah orang pertama yang menjumpainya. Gua ini terletak di belakang pulau ini ...perlu mendaki untuk sampai ke gua ini...selalunya gua ini digunakan untuk pertapaan..tapi saya ke sana bukan untuk bertapa tetapi ada sesuatu yang 'menarik' saya ke sana...tempat ini memang sangat tenang...walaupun agak penat mendaki tetapi alhamdulilah setelah sampai terasakan keletihan itu hilang apabila melihat pemandangan laut dari dalam gua...patut la tempat ini sesuai untuk bersunyi sunyian mencari ketenangan hati....

Dan sekarang pulau ini adalah list utama jika datang ke Melaka..kalau tak dapat pergi dapat tengok pulau ini dari kejauhan juga cukup untuk menghilangkan rasa rindu...susah untuk saya gambarkan ketenangan yang ada..jika ada yang bertanya pasti saya katakan pergilah sendiri..rasailah sendiri kedamaiannya...tetapi pergilah dengan niat yang baik...jangan ada niat disebaliknya..

Nak tahu pulau apa..itulah PULAU BESAR yang terletak di negeri Melaka...negeri kelahiranku...

p/s : maaflah tiada gambar disertakan..dan sebenarnya banyak tempat yang anda boleh lawati di pulau ini...tak silap saya ada 14 tempat menarik boleh dilawati...Insyaallah jika saya ke sana lagi mungkin kali ini saya ambil gambar dan buat entry baru tentang lawatan ke Pulau Besar tapi harap harap dapat menceritakan suasana bermalam di sana nanti.

jumpa lagi

Thursday, 23 May 2013

Sakit Oh Sakit

Assalammualikum..dh lama tak mencoret kan..tiada yang menarik ingin dikongsi..apatah lagi macam-macam perkara yang terjadi selepas pilihan raya lalu...hahaha dah terasa seperti orang penting pulak dalam politik..tetapi bila dah terkena batang hidung sendiri..memang benar apa yang dipertikaikan selama ini...inilah Malaysia tanah airku...rakyat marhaen yang tak punya apa apa kuasa...aku respect dengan keberanian yang ada pada orang-orang tertentu sahaja....

Ok lupakan segalanya...tak mahu terkena dua kali...hehehehe..jom kita cerita bab lain..bab apa ya..hemm sebenarnya pagi semalam apabila bangun, perut ku dah terasa pedihnya...dalam fikiran ahh gastrik ke..sudah lama benar tak datang sakit gastrik ni..nak kata tak makan ..malamnya aku dah makan..tapi kenapa sakit..dan semakin lama semakin kuat dan pedihnya menjalar ke pinggang belakang..yang paling sakit di bahagian kiri dan ia membawa ke sebelah kanan....memang dah mengigil sakit apatah lagi perut ku juga memulas mulas..angin nie...

Aku yang ada sejarah sakit batu karang dahulu tak menyangka ia menyerang kembali..dahulu aku sentiasa dikatakan mempunyai gastrik..sakitnya hanya ALLAH yang tahu..dari tingkatan 3 hingga 6 atas...itulah yang diberitahu oleh doktor bila aku ke klinik kerajaan mahupun swasta sehinggalah satu hari sekolah aku mengadakan aktiviti menderma darah dan disitulah baru ku tahu aku rupanya sebenarnya mempunyai batu karang di area buah pinggang setelah selepas menderma darah aku sakit dan pengsan di sekolah dan dibawa ke hospital Yan. Kerana penyakit ini juga aku mengambil exam kertas Pengajian Am di hospital..hehehe..nasib baik lulus cemerlang...kalau gagal bermakna gagal la STPM aku uhhuu..impian nak masuk universiti sudah tentu berkecai...

Sakit ini berterusan di universiti..bayangkan hari pertama pendaftaran sahaja aku sakit dan dikejarkan ke Pusat Kesihatan USM...dan aku mendapat MC selama seminggu untuk dikecualikan menyertai minggu orentasi..tapi aku degil dan mahu juga merasa pengalaman yang tak mungkin akan berulang. Akibat kedegilan aku sekali lagi aku dibawa oleh ambulans ke Pusat Kesihatan USM setelah aku pengsan ketika upacara membaca ikrar sebagai pelajar USM diadakan...dan akhirnya aku tidak merasai pengalaman tersebut...hemm tak silap aku, aku kemudiannya diarahkan berehat sahaja di bilik atau kembali ke rumah...

Sakit ini tak pernah baik ...hanya kadang kala je ia baik dengan aku..selebihnya memang ia kejam dengan aku..kerana sakit ini aku selalu jugak ponteng kelas kerana tak mampu bergerak ..dan ketika tahun ketiga..aku memang tidak mampu menahan lagi kesakitan yang boleh dikatakan setiap jam menyerang..dah tak larat nak ambil ubat ataupun injection untuk mengurangkan sakit jadi akhirnya aku direfer kepada Hospital Kuala Lumpur itupun setelah aku pengsan ketika menunggu giliran untuk berjumpa doktor mengikut temujanji di Hospital Pulau Pinang. Alhamdulilah akhirnya aku dinasihatkan untuk membuat kaedah laser ke atas batu karang kerana doktor kata batu karang yang ada hanya sebiji dan sebesar duit syiling 20 sen tetapi batu ni memang degil dan tak boleh pecah walaupun dah makan pelbagai ubat. Kaedah laser ini aku buat dua kali di Hospital Kuala Lumpur kerana laser yang pertama sedikit sahaja yang pecah dan hancur. Berdarah jugak badan aku akibat luka dilaser..rasanya memang pedih walaupun mungkin tak sesakit jika dibedah..dan alhamdulilah akhirnya batu karang ni tiada lagi selepas sebulan dilaser. Itu cerita tahun 2002.....

Dan sekarang batu karang ini bagaikan hidup semula dan kali ini ia bercambah..hemmm rasanya dalam ni ada 4 biji batu karang...dan yang paling besar adalah berdekatan buah pinggang..Ya Allah sekali lagi...dengan pengambilan ubat dan rawatan..bila di x-ray rasanya 2 atau 3 batu karang dah keluar..itu yang kecil kecil..dan sekarang masih tinggal yang besar jer..agaknya ia dah mula ingin mendera aku lagi ..uhhuu..jangan la sakit seperti dulu..jika berlaku pasti susah aku nak bergerak dan datang kerja...takkan asyik nak ambik MC jerkan...

Nampaknya mulai hari ni kena la aku berpantang makan...uhhuu sebenarnya aku pantang tengok..semuanya aku nak bedal...nasib badan la...

jumpa lagi


Monday, 13 May 2013

13 Mei - Tarikh Keramat...Kelahiran Anakanda Zulqarnain

13 Mei satu tarikh keramat..ada sejarah di sebalik tarikh itu ..ia sudah menjadi sejarah..dan didoakan tiada peristiwa sama yang berlaku..hari ini atau pun pada tahun - tahun mendatang. Di sebalik tarikh keramat ini,  ia adalah satu kenangan manis untuk saya yang bergelar ibu...4 tahun lalu Muhammad Zulqarnain Shah dilahirkan..alhamdulilah hari ini hari lahir adik...Selamat Hari Lahir anakandaku...semoga dirimu menjadi anak yang soleh...dan insan yang berjaya di dunia dan akhirat...aammiinn...

Ummi hanya mampu memberi sedikit hadiah..untuk Zulqarnain mengingati ummi bahawa ummi tidak pernah melupakan dirimu...Insyaallah satu hari ummi sendiri akan membesarkan Zulqarnain dengan tangan ini...ummi cuba untuk tak bersedih pada sambutan hari ibu..kerana ummi tiada di sisi kalian untuk menyambutnya...dan hari ini ummi sekali lagi tidak mahu bersedih di hari kelahiranmu...

Ummi sayang adik..ummi sayang kak long dan ummi sayang abang ngah.....sayang selalu..

jumpa lagi 

Muhammad Zulqarnain Shah

Sayang Selalu - Ummi dan Adik





Monday, 6 May 2013

Hari Ini 6 Mei

Hari Ini 6 Mei..bermakna kerajaan baru telah dibentuk dan rakyat telah memilih Barisan Nasional menerajui pemerintahan negara untuk 5 tahun mendatang ...tahniah..harapan saya penuhilah tanggungjawab itu dengan amanah, telus dan jujur....demi rakyat dan negara Malaysia..

Dan semalam 5 Mei menjadi sejarah apabila rakyat Malaysia sekali lagi keluar mengundi dan saya juga telah jalankan kewajipan saya sebagai rakyat Malaysia...saya mengundi di Sek Menengah Guar Chempedak dalam memilih calon Dun Guar Chempedak dan Parlimen Jerai...

Keputusan telah diketahui..keputusan ini kita terima dengan berlapang dada kerana yang memilih itu juga rakyat Malaysia..bukan orang lain..dan harap bukan Bangla..bukan Indon..bukan Myanmar...jangan ada sentimen perkauman dimainkan dan ditiup semboyannya...cukuplah sejarah dulu ..usah diulangi..jadikan ia sebagai pengajaran ...bukan teladan untuk diikuti...

Hemmm nak tahu jugak siapa Menteri KPKK yang baru...semoga bos baru saya ini akan membawa perubahan positif dalam Jabatan Penyiaran Malaysia...

jumpa lagi... 

p/s : hari ini sangat mengantuk sebab tidur beberapa jam sahaja kerana tunggu keputusan pilihan raya :)



Friday, 3 May 2013

Selamat Mengundi 5 Mei Ini

Assalamualaikum sahabat..5 tahun datang lagi dan 5 Mei ini adalah tarikh keramat untuk kita sebagai rakyat mengundi..itulah satu satunya kuasa demokrasi yang kita ada sebagai rakyat jadi jangan sia-siakan...pilihlah calon pilihan anda...kenali calon dan parti anda...jika anda sudah timbang timbangkan dan fikir bulat bulat dengan mata hati pangkah la dengan tenang dan semoga selepas ini kerajaan yang ada akan membawa kita ke puncak dengan roket yang laju..hehehhe...hahahaha...

Entahlah jika nak dikatakan istilah undi adalah rahsia sebab dengan media sosial yang ada sekarang undi bagaikan tiada rahsia...ramai dah yang berani menunjukkan sokongan kepada parti parti pilihan masing masing...pada saya tak kisahlah siapa pilihan anda... siapa yang akan menjadi kerajaan dan menerajui negara..yang saya harapkan tanggungjawab ini dilaksanakan dengan amanah, dengan telus dan jujur....dan saya harap tiada cetusan rasa yang tidak puas hati dengan kekalahan mahupun kemenangan pada 6 Mei nanti...

Saya pasti semua orang mahukan perubahan yang lebih baik...dan bagi saya setiap perubahan itu Insyaallah ada kebaikan..semua orang mahukan yang terbaik dan yang penting berikan yang terbaik itu kepada ALLAH dahulu..Insyaallah ALLAH akan memberi kita kebaikan yang lebih manis...Yakini ALLAH...Sayangi Islam...kerana hidup kita di dunia ini sementara sahaja..semoga sumbangan kita yang kecil akan menolong kita di alam sana nanti...

Selamat mengundi...kita tunggu parti mana yang akan jadi kerajaan samada BN atau PR...Jawapannya malam 5 Mei nanti dan 6 Mei saya bekerja dengan kerajaan dan bos baru...

jumpa lagi...senyum selalu

Monday, 22 April 2013

36 Tahun Sudah Berlalu - Syukur

Alhamdulilah..Alhamdulilah..Alhamdulilah...36 tahun hari ini jam 8.30 pagi tadi. Jazakallah kairan kathira buat semua sahabat FB dan keluarga yang memberi ucapan selamat hari lahir...didoakan semua ucapan dan doa kalian dimakbulkan ALLAH SWT hendaknya...

36 satu angka yang bermakna..banyak pahit, manis, masam, kelat, tawar, bahagia, kecewa, ketawa, menangis, mengiringi hidupku selama ini. Itulah warna takdirku...dan syukur aku masih lagi diberi nafas oleh Pencipta diriku..Terima kasih Ya ALLAH...kerana menjadikan aku hambaMu..ku berjanji Sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Mu Ya Allah, Tuhan seluruh alam. 

Syukur...untuk diriku...ku hadiahkan sesuatu yang telah lama ku idamkan....untuk menghargai diri sendiri..dan semalam terima kasih buat ahli ahli di rumah yang sanggup bersengkang mata menunggu detik 12 malam untuk merai hari lahirku...walaupun nyanyian Happy Birthday korang berterabur, pitching lari..tapi aku cukup menghargainya..tersentuh hati ini...nasib baik airmata ini tidak mengalir kalau tak malu dengan korang..dah tua tua nak menangis bagai kan...hahahahaha

Ada impian lain yang sedang diusahakan...aku nak berhijrah..dan tempatnya sangat istimewa..semoga ALLAH mengizinkan niat ku itu...

Buat insan insan istimewa dalam hidupku...terima kasih kerana tak pernah jemu berada di samping ku...melayan karenah - karenahku, rinduku, sayangku, dan membantu aku dalam mengharungi setiap dugaan hidup insan bernama Mastura Ismail...aku kuat kerana kalian kuat menyokong ku...sentiasa menjadi tongkat yang menampung kekurangan hidupku...di sini aku tahu siapa kawan siapa lawan...jika ku tak jatuh ..sudah pasti aku tidak dapat menilai mana intan mana permata...dan aku harap kalian tetap bersama ku sehingga akhir hayat ku nanti...

Tanpa hadir kalian dalam hidupku ...aku tetap sayang kalian kerana kalian adalah permata hatiku...jika ummi pergi dahulu tanpa sempat ummi mendapat kembali hak ummi..ummi nak kalian tahu ummi tak pernah membuang kalian dalam hidup ummi...ummi sayang sayang sangat anak anak ummi...ummi doakan kalian bahagia di dunia dan akhirat...love u so much...

36 Tahun Sudah


p/s : meningkat lagi angka umur maka semakin dekat kematian dengan diriku..untuk semua sahabat ..maafkan aku jika aku berdosa dengan kalian...:)

Thursday, 18 April 2013

Coming Soon....

Coming soon...tarikh kelahiran..banyak impian yang ingin dilaksanakan..apatah lagi setelah dua tahun lalu bermula hidup dengan angka kosong...kosong..kosong..bak kata Najwa Latiff...

Ingin ku kejar dunia...ingin ku kejar akhirat..semua impian telah disusun dan sedang diusahakan ...hanya dengan keizinan ALLAH SWT jua ia akan menjadi kenyataan...semoga ALLAH izinkan untuk hambaNYA ini...Allahhumma Ammeenn..

Ya ALLAH izinkan aku meraikan hari itu dengan anak-anak ku...Impian yang ingin aku perolehi tapi jika tidak aku pasrah..aku rela..aku redha..mungkin belum masanya....Hati terusik dan hiba memikirkan anak anak...inilah dugaan Mu ..aku terima...dan aku percaya Kau yang sempurna dalam menyusun jalan kehidupanku...dan aku harap Kau berikan aku kehidupan yang lebih baik dan lebih sempurna selepas ini..aku syukuri nikmat Mu ini...kerana aku mencintai Kamu Ya ALLAH Ya Tuhanku.....

 p/s: hati ku sedang menangis...

Monday, 15 April 2013

Sakit Kepala Ku

Akhir-akhir ini sakit kepala semakin menjadi jadi...apatah lagi dengan cuaca yang tak menentu..panas pun sakit ..sejuk pun sakit..pelik juga..kadang kala bila hidung bau yg kurang enak terus kepala pening..kalau sikit sikit tak apa juga tetapi semakin lama semakin teruk rasa sakitnya..kena juga telan ubat tahan sakit....pernah juga ketika memandu sakit kepala tiba tiba menyerang...mata tiba tiba jadi berpinar...pernah sampai satu tahap terpaksa pukul pukul kepala ni bagi hilangkan rasa sakit...dengan harapan selamat la sampai ke rumah..nak landing jer atas katil..dah tak larat...tambah pulak dengan sesak yang amat bila masa balik...nasib badan la sebab duduk kat bandar ni...

Ada yang kata angin banyak dalam badan...cuba kurangkan makanan yang berangin atau yang boleh mendatangkan angin ..hemmm angin satu badan aku bila tahu banyaknya makanan terutama sayur-sayuran yang sejuk sejuk tak boleh dijamah...hahahaha....alahai sayur takde macam tak cukup sempurna makanan tu...so macam mana...pilihan yang sukar untuk aku yang memang pengemar sayur-sayuran..

Satu lagi katanya resdung...yang ni aku rasa betul ...ye la..resdung juga boleh mempengaruhi kesakitan di kepala...nampaknya kena la rajin buat rawatan resdung...dulu sangat rajin sebab mak angkat memang pandai dalam rawatan resdung..tetapi sejak mak takde....memang dah jarang jarang sangat buat rawatan nie..arwah mak angkat pernah berkata ..rawatan resdung nie pun bagus untuk kecantikan.....so siapa yang ada masalah jerawat boleh buat rawatan resdung..tapi kena la selalu..baru hasilnya baik..

Agak agak apa lagi punca sakit kepala ni..a.k.a migrain ....banyak sebab kan..dan sekarang aku dah nak berhenti menulis sebab kepala ku dah mula berdenyut ..sakit mata tengok komputer nie lama lama..ahhh itu lagi satu punca migrain....

jumpa lagi...


Monday, 8 April 2013

Masalah..Masalah..Masalah

Assalammualaikum sahabat...rindukan saya..hehehe...dh lama tak menulis..tak meluahkan rasa..kenapa..hemmm entahlah..lately nie saya banyak pendamkan rasa..semua rasa hanya dipendamkan..tak terluah....bukan tak nak berkongsi ..tapi banyak rahsia yang tersembunyi..nak diluahkan ibarat membuka aib orang lain...tak nak la..nanti ALLAH bukak pulak aib kita kan ...

Sekarang dah masuk bulan April..minggu kedua kan??? dan saya sebenarnya telah terlupa tarikh keramat 30 Mac lalu...wahhh saya lupa..terlupa sangat sangat...nampaknya tarikh itu memang tak ada erti untuk saya ...ye ke...hehehehe...tarikh tu sebenarnya adalah tarikh talak satu dijatuhkan ke atas saya di Mahkamah Syariah KL Wilayah Persekutuan...bermakna dah dua tahun ia berlalu dan saya makin melupainya...bagus bagus..satu perkembangan yang menarik...ehhh perlu ke saya ingat tarikh tu...perlu tau..sebab dan motif...banyakkkkk hahahaha

Ok lupakan semua itu...dan saya sebenarnya tengah merancang untuk menyelesaikan masalah satu persatu...masalah memang tak pernah habiskan dalam hidup kita?? orang kata bila dan meninggal dunia baru masalah selesai...ehh ye ke..atau sebenarnya masalah baru bermula...ahhh faham tak maksud saya nie..hehehe..harap harap sahabat faham la...kerana perjalanan bermula setelah kita dikiamkan...dan harap harap semua masalah dapat diselesaikan walaupun ada masalah yang berat untuk dipikul oleh bahu yang kecik nie...sabar je la kan..

Alhamdulilah..hidup semakin baik daripada permulaan single...awal awal memang agak broke...nasib baik ada perancangan awal...thanks ALLAH....hanya berharap tiada tangan tangan yang ingin merosakkan segala galanya...dendam yang ada baik dilupakan sebab kemaafan dendam yang terindah..tak percaya..buat dahulu dan rasai keindahannya...semoga ALLAH memberi hidayahNYA kepada kalian...dan tolong tolong jangan campuri urusan hidupku lagi termasuk keluarga ku...diam tak bererti takut tetapi kami malas nak mengeruhkan keadaan yang telah keruh akibat kocakan yang terlalu kuat dan dalam...

Ada sesuatu yang sedang saya uruskan demi masa depan yang lebih membahagiakan...nantikan perkembangannya ..akan saya war-warkan nanti bila kejayaan menanti...hanya saya perlukan sahabat doakan kebahagiaan saya dan impian saya untuk bersama anak-anak nanti..lately nie saya sentiasa mimpikan mereka...cukup membahagiakan...

Jumpa lagi nanti...mode hari nie..kaki dua dua kejang..jalan pun macam robot...inilah jadinya bila dah lama tak jogging ...

Thursday, 21 March 2013

Happy Birthday Fatihah ...Kau Adalah Bidadariku...

Hari ini 21.3.2013 genap sembilan tahun umur Nur Saidatul Fatihah, puteri sulung ku..Alhamdulilah...semoga ALLAH sentiasa memberi keberkatan dan rahmatNYA untuk anak ini...tiada apa yang mampu umie berikan ..hanya doa doa untuk dirimu sayang..maaf jika tahun ini tiada sambutan hari lahirmu..maaf jika tahun ini tiada pelukan dan ciuman untuk dirimu..maaf kerana umie masih belum dapat memilikimu dan membesarkanmu dengan tangan ini tetapi percayalah sayang hati umie tidak pernah melupai dirimu....sentiasa merinduimu dalam diam...

Ya ALLAH hanya Engkau yang tahu betapa aku merindui anak ini..kuatkan hatiku kerana aku ingin melihat dia juga kuat dalam mengharungi hidup ini tanpa aku disisinya.

Sayang..umie doakan dirimu sentiasa bahagia, ceria, menjadi anak yang solehah dan beriman dan juga sentiasa dalam lindunganNYA. Ketahuilah sayang kau adalah bidadari ku selalu. Umie  juga berharap hadiah yang umie berikan dapat mengembirakan hatimu di hari lahir mu sayang...semoga hadiah itu berada di tanganmu...

Umie harap tahun hadapan umie dapat meraikan hari bahagia ini dengan kalian semua..itu harapanku dan buat semua sahabat doakan semoga sahabatmu ini mendapat kembali haknya sebagai seorang ibu...

Bidadariku

Nur Saidatul Fatihah

p/s: umie ingin merasai pelukan mu puteriku..

Wednesday, 6 March 2013

Dataran Merdeka - Lukisan Kehidupan

Dataran Merdeka Pada Waktu Malam - Gambar Ehsan Google
 
Semalam selepas habis waktu kerja...terus aku ke Masjid Negara..buat apa..lepak lepak sahaja..mencari ketenangan..sambil memerhatikan manusia yang lalu lalang..melihat gelagat sehingga masuknya waktu Maghrib...

Selesai sahaja ..aku terus ke Dataran Merdeka...ketika itu sudah pun hampir 8.30 malam...ohhh dah ada yang lepak lepak di sana..menonton perlawanan bola ..dan aku kira itu perlawanan ulangan antara Real Madrid dan Barcelona..aku mengambil keputusan berhentikan kereta ku dan menikmati angin dan suasana malam...ahhh....selalunya aku merayau - rayau KL ketika hujung minggu ..tapi semalam entah mengapa hati berat lagi untuk balik...

Sambil menonton perlawanan tersebut walaupun sebenarnya tak berapa menarik minat sebab aku sudah menyaksikannya secara langsung...aku memandang padang yang luas ...terbayang - bayang anak-anak berkejaran dan bermain-main di situ..dan aku hanya mampu tersenyum...dan malam itu aku mengharapkan dapat bertemu anak - anakku tapi  sudah pasti ia hanya harapan palsu..

Dalam keluhan halus..mata memandang ...tersenyum aku melihat gelagat mereka berdua...bagaikan anak anak ku sahaja tingkah mereka...yang lelaki berlari - lari menikmati padang yang luas itu..yang perempuan bermain- main dengan barangan permainan yang dibeli..kadang kala melihat - lihat mereka bergambar dengan lelaki yang ku kira pakciknya..kenapa..kerana kedua ibu bapanya sibuk melayan seorang anak lain..masih baru belajar berjalan...ohh mereka bersama nenek mereka juga...seronok melihat kemesraan mereka sekeluarga apatah lagi figura dan juga telatah mereka tidak ubah seperti anak-anakku ..mesra...ketika melihat mereka dipeluk..terasa seperti aku yang memeluk anak-anak ku sendiri...sentuhan pelukan terasa sehingga menyentuh hati ini...memang aku benar-benar merindui mereka..dan kemudian keluarga ini balik...hanya mata yang memandang mereka berlalu ....

Dan ketika aku mula bosan ...datang seorang lelaki..rupa parasnya entah..nak dikata warganegara mungkin..hendak dikatakan tidak pun mungkin...aku tak dapat membezakan dalam keadaan yang samar...dia mula mendekati satu pasangan suami isteri...entah apa yang dikatakan..tetapi aku dengar pasangan tersebut mengatakan mereka tiada duit...berulang-ulang lelaki itu meminta - minta..merayu-rayu dan aku hanya memerhatikan... dalam hati...terselit rasa tidak selesa...nak dipanggil apa mereka..meminta ehsan orang lain untuk seringgit dua...aku tengok bentuk badannya..masih mampu bekerja..tinggi orangnya hanya agak kurus..tetapi terurus..dengan kemeja dan juga jeans..akhirnya dia berlalu dan ketika melalui aku...dia tidak berhenti dan terus pula ke satu kumpulan pendatang ...rasanya Bangladesh...tetapi seorang pun tak membantu...dan aku terfikir kenapa dia tidak berhenti ke arah aku...ohhh baru aku perasan yang aku tidak membawa beg tangan...mungkin orang itu berfikir nak mintak apa kat aku kalau tiada beg sekali pun..aku hanya tersenyum...selamat..kalau tidak aku juga tidak selesa dengan kedatangannya..bukan takut tetapi tak selasa lagipun apa yang nak ditakutkan... di Dataran Merdeka kan ramai orang...

Bangku disebelah ku yang kosong telah di isi oleh sepasang kekasih.....nasib baik mereka tak lama berada di situ..gelagat mereka membuatkan aku tidak selesa...hendak berkasih pun biarlah bertempat....dan kemudian bangku itu sekali lagi diduduki oleh pasangan...sambil makan kuaci mereka berbual..dan aku tidak mengambil tahu apa yang dibualkan..aku hanya layan perlawanan bola di skrin besar..agak lama ..aku mula melirik mata ke arah pasangan tadi...Ya Allah...penuh sisa sisa kulit kuaci di tempat duduk mereka..ada yang jatuh di tanah padang dataran...dan mata aku hanya tertumpu kepada kulit kuaci tersebut...mataku lama disitu sehinggakan aku tak sedar ada mata yang sedang memerhatikan tingkahku...wanita itu sedang melihat aku..dan aku secara spontan terus mengeleng-gelengkan kepala...hemm kesian kepada orang yang akan menyapu esok hari.....itu yang aku fikirkan...

Jam hampir ke angka sepuluh...aku mula hendak meninggalkan Dataran Merdeka dan pada waktu yang sama hujan rintik-rintik mula turun...aku melihat ramai yang mula meninggalkan Dataran...dan aku hidupkan enjin kereta dan mengharungi kesesakan menuju ke rumah.....