Thursday, 22 May 2014

Nak Atasi Dagu Berlapis...Kena Baca Ni



Ramai berpendapat dagu berlapis hanya dialami oleh golongan gemuk. Namun, sedarkah anda mereka yang kurus juga boleh berhadapan dengan situasi ini.

Dagu berlapis tidak sahaja terbentuk daripada kesan makanan berlebihan. Sebaliknya, terdapat pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada permasalahan ini termasuk cara duduk dan berjalan yang tidak betul.

·         Apabila berdiri atau berjalan, jangan membongkok . Pastikan anda berjalan dan berdiri tegak supaya dagu sentiasa tegak.

·         Jaga pemakanan supaya tidak berlebihan.

·         Urut dagu dengan pergerakan dari bawah ke atas. Selain mengetatkan otot, ia juga mampu merangsang peredaran darah.

·         Lakukan senaman dagu dan leher pada masa terluang terutamanya ketika bangun pagi, sebelum tidur atau ketika di pejabat.

Senaman dagu boleh dipraktikkan dengan mengikuti teknik berikut.

1)      Berdiri tegak dan pandang ke hadapan. Dengan menggunakan belakang telapak tangan, lakukan pergerakan menepuk secara lembut di bahagian bawah dagu. Lakukan sebanyak 40 kali.

2)      Menggunakan otot muka dan leher, angkat bahagian bawah bibir melewati bibir atas sejauh yang boleh. Ulangi sebanyak 10 kali.

3)      Berteleku di bibir katil, tampung muka dengan telapak tangan untuk menampung dagu dengan keadaan siku di atas lutut. Lakukan setiap kali bangun pagi selama 10 minit. Ia dipercayai dapat mengurangkan muka sembab dan menaikkan tulang pipi.

Sumber : Majalah Nona

Thursday, 8 May 2014

Petua Menghindarkan Parut Di Muka



Siapa yang tidak mahu kulit yang gebu,cerah dan bebas tanpa sebarang cela. Tetapi bukan mudah untuk mendapat wajah sesempurna itu. Melainkan jikalau anda benar-benar mahukan, dan berusaha tanpa jemu untuk tetap mendapatkan kulit wajah yang cantik. Sekiranya anda orang yang tidak mengenal erti putus asa, apakata cuba dengan petua lama. Nampak leceh, namun amat mujarab. 
Terdapat tiga jenis petua yang membantu anda dalam mengatasi masalah parut pada wajah. Panduannya adalah seperti berikut:

Ambil daun pegaga bersama bahagian akarnya sekali dan perlu di cuci dengan bersih. Giling hingga lumat. Campurkan dengan bedak sejuk dan sedikit air. Lumurkan kebahagian yang berparut.

Petua yang kedua pula, anda juga boleh menggunakan daun sirih muda. Caranya adalah dengan menumbuk sehelai sirih muda. Tepekkan pada muka terutama pada bekas jerawat. Setelah kering, cuci muka dengan dengan air bersih. Amalkan tiga kali seminggu.

Sekiranya anda merasakan bahan-bahan di atas tadi sukar didapati, petua seterusnya pula adalah dengan meggunakan timun. Kisar timun dan tapiskan airnya. Tampalkan hampas timun pada muka. Biarkan setengah jam. Kemudian cuci bersih dengan air suam.

Rujukan : Majalah Mingguan Wanita

Petua Mencerahkan Kulit Secara Tradisional

Jom ikuti kaedah mudah untuk cerah dengan bahan-bahan alami ini seperti berikut:

Petua yang pertama, anda boleh parut seketul ubi kayu dan tepekkan pada muka. Biarkan hingga kering. Selepas itu cuci muka dengan air suam. Perlu diamalkan setiap malam.

Manakala petua yang kedua, anda boleh menggunakan campuran bahan seperti lobak, kuning telur dan limau. Caranya pula, campurkan parutan lobak merah, kuning telur, sedikit air limau nipis hingga sebati. Sapukan pada muka dan biarkan kering. Cuci dengan air tanpa sebarang pembersih muka.

Atau dengan kaedah lainnya yang juga berkesan dan lebih mudah adalah dengan mencampurkan tepung sagu dengan air. Sapukan pada muka seperti memakai bedak sejuk. Lakukan setiap hari.

Rujukan : Majalah Mingguan Wanita