Tuesday, 31 January 2012

7 Sunnah Rasullulah...

10 Wasiat Imam Syafie Kepada Muridnya

Di antara kandungan wasiat itu: “Sesiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara.”

1 : Hak kepada diri – mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan & berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2 : Hak kepada malaikat maut – mengqandakan kewajipan yang tertinggal , mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati & berasa cinta kepada Allah.

3 : Hak kepada kubur – membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud & membantu orang yang dizalimi.

4 : Hak kepada Munkar dan Nakir – tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat & nasihat menasihati.

5 : Hak kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat) – menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan & sanggup menanggung kesulitan.

6 : Hak kepada Sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) – membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman & suka berjemaah.

7 : Hak kepada Malik (Malaikat Penjaga Neraka) – menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi & memperelokkan akhlak.

8 : Hak kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga) – berasa reda kepada qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas hikmat Allah & bertaubat dari melakukan maksiat.

9 : Hak Kepada Nabi saw – bersalawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-sunnah (hadis) menyayangi sahabat & bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah.

10 : Hak kepada Allah SWT – mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada keburukan, menyukai ketaatan & membenci kemaksiatan

Friday, 27 January 2012

Happy Birthday Sayang Ku...

Assalamualaikum...

Hari ini 27 Januari 2012 adalah hari kelahiran Muhammad Iskandar Shah. Hati ku hari nie memang sayu..terasa sedih .. terasa pedih....akhirnya buat pertama kali aku tidak dapat meraikan hari jadinya..tanpa kek...tanpa ciuman..tanpa dakapan..dan tiada ucapan ...maafkan umie sayang....

Dah 6 tahun anak umie...anak yang comel...dengan sifatnya yang periang.....dia tak kisah apa yang berlaku di sekeliling dia tapi dia tahu dan memahami...itu aku pasti...dia juga seorang yang tabah menghadapi sesuatu...dan dia dah buktikannya walaupun ketika itu umurnya baru 5 tahun...tabah kehilangan satu jari dalam kemalangan tahun lalu...dia tidak seperti anak anak yang lain...meraung atau menangis sebab sakit...malah dia tidak pengsan akibat kehilangan darah yang banyak..doktor ada beritahu kalau kanak-kanak lain sudah pasti akan pengsan tetapi Iskandar tidak malah meminta aku jangan menangis melihat kesakitan dia...tabahkan anak ini...kalau aku pun tak tahu macamana keadaan aku...malah setelah dia selesai menjalani operation, esoknya boleh pulak dia meronda ronda sekitar wad kanak-kanak tu...hemmm siap bermain di tempat permainan mini untuk kanak-kanak di situ...kita pulak yang takut jika jarinya berdarah kembali....itulah Iskandar...kerana kelincahannya jari yang mengambil masa dua minggu untuk baik terpaksa mengambil masa sehingga sebulan setengah sehingga kan doktor mengambil keputusan terpaksa memotong sebahagian lagi jari sekiranya jari Iskandar masih tidak sembuh....Mendengarkan cadangan doktor tu membuatkan aku kecut perut dan sejak itu aku buat apa sahaja cara supaya jari dia sembuh...dan akhirnya alhamdulilah dua minggu kemudian jarinya telah sembuh...so no operation...lega...

Ya ALLAH semoga hambaMu yang ku lahirkan ini...menjadi anak yang soleh, anak yang sentiasa diberi hidayah dan rahmatMu..Engkau lindungilah anakku ini selalu..Engkau kurniakanlah anak ini dengan ilmu-ilmu yang bermanafaat untuk dirinya, agamanya dan hidupnya. Semoga dia sentiasa berbakti kepada orang tuanya dan Kau ampunkanlah segala dosa-dosanya. Ammmiinn...

Untuk Iskandar, umie sayang sangat Iskandar sehingga akhir hayat umie bahkan nama ini umie beri kerana nama ini banyak kenangannya...dan semoga Iskandar menjadi seorang pemimpin agung...menjadi seorang pemimpin yang dapat memimpin diri sendiri, memimpin kakakmu...adikmu...memimpin keluargamu dan yang penting jadilah pemimpin di dalam agamamu...Ingat anakku..jadikanlah Islam sebagai agamamu, hidupmu,dan matimu......InsyaALLAH rahmat ALLAH itu sentiasa ada untuk dirimu....Salam sayang selalu...

Thursday, 19 January 2012

10 Ciri Suami Mithali

Assalammualaikum.....
10 Ciri Suami Mithali ....jom baca artikel dari Ustaz Mohd Zamri Abdullah...

Jarang kita fikirkan dan ungkitkan ciri – ciri seorang suami mithali, selalu pula kita bincang pasal apa seorang isteri yang patut lakukan kepada suami dan keluarganya. Bukan sedikit tetapi banyak perkara yang menjadi tanggungjawab isteri di rumah seperti mengurus rumah, mengajar dan menjaga anak – anak, memasak,mengemas, mencuci baju juga apa yang kita suruh, si isteri akan lakukannya. Berbalik kepada suami, apa yang kita lakukan ?

1. Berpakaian kemas, bersih dan wangi untuk isteri anda.
Bilakah kali terakhir anda beli baju tidur yang mahal ? Seperti juga kita mahukan isteri kita berpakaian cantik untuk kita, mereka juga mahukan suami mereka lakukan perkara yang sama juga. Ingat bahawa Rasullullah S.A.W. akan sentiasa menggunakan miswak (kayu sugi) apabila balik rumah dan sentiasa gemarkan bau – bauan yang wangi.

2. Menggunakan nama yang baik untuk isteri anda.
Gunalah nama yang terbaik untuk panggil isteri anda dan elakkan guna nama yang boleh buatkan hati dia terguris. Panggilan yang manja akan membuat hubungan anda sentiasa mesra.

3. Jangan layan dia seperti ‘lalat’.
Kita tidak pernah fikirkan pasal lalat setiap hari kita kecuali bila dia datang mengganggu kita. Sama juga seperti isteri, dia telah lakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri setiap hari tetapi kita tidak pernah menghargainya sehingga dia membuat silap dan menyusahkan kita. Janganlah kita layan isteri seperti ini, selalulah kita ingat apa kebaikan yang isteri kita lakukan dan fokuskan tentang itu.

4. Elakkan terlampau banyak komplain.
Jika anda terlihat kesalahan yang isteri anda lakukan, cubalah berdiam sahaja dan tidak memberi komen. Ini adalah salah satu cara Rasulullah S.A.W. gunakan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak elok dari isterinya. Ini merupakan salah satu ciri yang amat jarang si suami amalkan.

5. Sentiasa senyum dan peluk isteri anda.
Senyum merupakan satu sedekah dan sentiasalah senyum dengan isteri anda. Bayangkan hidup dengan isteri anda sentiasa melihat anda tersenyum. Ingat bahawa terdapat hadith di mana Rasulullah S.A.W. akan mencium isterinya sebelum pergi sembahyang, juga semasa baginda sedang berpuasa.

6. Berterima kasih dengan apa yang telah isteri lakukan kepada anda.
Dan sentiasalah mengucapkan terima kasih. Ambil contoh di mana isteri anda masakkan makanan yang sedap, mengemas rumah dan pelbagai lagi. Kadang – kadang apa yang dia dapat adalah komen dari si suami bahawa sup yang dia masak itu kekurangan garam. Janganlah bersikap begini, berterima kasihlah dengan apa yang dia telah usahakan itu.

7. Mintalah dia tuliskan 10 perkara yang anda telah lakukan membuat dia gembira.
Kemudian lakukanlah perkara itu lagi. Mungkin sukar untuk tahu apa yang dapat membuat isteri anda gembira dan anda tidak perlu untuk teka, tanyalah dia dan ulangkan perkara tersebut sepanjang hidup anda dengan dia.

8. Jangan merendahkan keinginan dia.
Pujuklah dia. Kadang – kala si suami akan mengambil ringan perkara yang diinginkan oleh si isteri. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh apabila insiden di mana Safiyyah binti Hujaj R.A. menangis kerana baginda telah meletakkan dia di atas unta yang perlahan. Baginda membersihkan air mata dan menenangkan dia, kemudian baginda menukarkan dengan unta yang lain.

9. Yang sentiasa berjenaka dan bergurau.
Jadilah seorang suami yang berjenaka dan sentiasa bergurau senda dengan isteri anda.Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W. berlumba dengan isteri baginda Aisyah R.A. di padang pasir. Bilakah kali terakhir kita lakukan perkara demikian ?

10. Pesanan Rasulullah S.A.W.
Sentiasa ingat apa yang Rasulullah S.A.W. pesan, “orang yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang melayan keluarga dia dengan terbaik. Dan akulah orang yang terbaik dikalangan kamu bagi keluarga aku”. Maka dengan hadith ini, anda lakukan lah yang terbaik, insyaAllah akan bahagia dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, jangan anda lupa untuk sentiasa berdoa dengan Allah meminta supaya perkahwinan anda bahagia dunia dan akhirat, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Alhamdulilah..banyak manafaat daripada artikel nie saya kongsikan buat kita semua...kepada isteri boleh la bagi artikel nie buat suaminya..kepada suami apa kata anda amalkannya..jika memang anda seorang suami yang mempunyai ciri-ciri nie...teruskan lagi dan kekalkan dalam perkahwinan anda semua...saya doakan perkahwinan anda semua kekal hingga ke akhir hayat...
Untuk saya...saya ingin menemui lelaki yang memahami siapa saya...hahahaha..kontroversi pulak kenyataan saya nie nanti...hemmm..sebenarnya apa yang anda semua faham dengan memahami...bukan hanya memahami siapa Mastura nie sebab siapa nak tahu sifat-sifat saya boleh tengok sifat kelahiran bulan April..itulah saya ....hehehehe
Tetapi apa maksud saya ialah ...dia memahami siapa dirinya yang sebenar..memahami kenapa dia berada di dunia ini....jika dia tahu kenapa..mengapa..untuk apa ...dia dilahirkan dia sudah pasti akan memahami dengan sendirinya tanggungjawabnya terhadap dirinya,keluarganya,isterinya,anak-anaknya,agamanya,malah yang paling penting tanggungjawabnya kepada ALLAH...
Jika saya menemui HAMBA ALLAH ini sudah pasti kebahagiaan dan ciri - ciri suami mithali seperti di atas akan ada kan...ehhh berat ke impian saya...Insya-ALLAH tidak kerana di luar sana saya pasti ada lelaki yang memahami siapa dia sebagai HAMBA ALLAH....itulah hakikatnya...uppsss lupa saya ada tiga orang anak ....sanggup ke hahahaha...jumpa lagi ...
 

Monday, 16 January 2012

Terima Kasih YA ALLAH

Assalamualaikum...

Dah lama tak menulis di blog nie....nak kata sibuk tak la sangat tapi idea untuk mengarang tak ada...so berehat sebentar untuk mengali idea kembali....

Alhamdulilah..minggu ini aku bersama-sama dengan anak-anak...seronok melihat kegembiraan dan keriangan mereka bermain dengan sepupu sepupu mereka yang ramai tu...pelbagai gelagat boleh dilihat terutama Zulqarnain..dia dah mula pandai bercakap....bila ditanya pandai dia menjawab...jawapan dia cukup membuatkan aku tersenyum bahagia...gembiranya hati seorang ibu melihat anak-anak yang lama tidak bertemu...dapat memeluk mereka bertiga Ya ALLAH sukarnya untuk aku gambarkan perasaan ini. Tetapi aku sentiasa berharap dan berdoa mereka sentiasa bahagia walaupun aku tiada disisi mereka...

Dan hari ini aku mendapat sms daripada Mr. Anton dari Singapura untuk menguruskan urusan membuat jari palsu Iskandar...YA ALLAH terima kasih kerana mendengar doa ku yang satu ini. Dah lama aku menunggu tetapi masalah duit merupakan halangan terbesar namun Syukur Alhamdulilah ALLAH telah memudahkan segalanya...sesungguhnya Kau Mengetahui apa yang terbaik untuk ku...TERIMA KASIH YA ALLAH......

Insya-ALLAH ini adalah hadiah kelahiran Iskandar untuk bulan ini...semoga semuanya berjalan lancar dan tiada masalah...Semoga ALLAH memudahkan segalanya. Benarlah sekiranya kita menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH sudah pasti DIA akan membantu hambanya......Alhamdulilah DIA tidak akan membiarkan hambanya terus dalam kesusahan....

Alhamdulilah..Alhamdulilah..Alhamdulilah..Terima Kasih YA ALLAH...terima kasih....

Friday, 6 January 2012

Belajar Erti Sebuah Kehidupan

Buat anak-anakku...belajarlah  memahami erti sebuah kehidupan yang telah dianugerahkan ALLAH SWT.....
Jika anak hidup dalam kesabaran... dia belajar jadi penyabar.
Jika anak hidup dalam pujian... dia belajar menghargai.
Jika anak hidup dalam penerimaan... dia belajar jadi menyayangi.
Jika anak hidup dalam persetujuan... dia belajar menyayangi diri.
Jika anak hidup dalam galakan... dia belajar jadi yakin.
Jika anak hidup dengan ilmu... dia belajar memahami pesekitaran.
Jika anak hidup dalam pengiktirafan... dia belajar membina matlamat hidup.
Jika anak hidup dengan kata-kata yang baik... dia belajar berfikir dengan baik.
Jika anak hidup dengan kemahiran... dia belajar berdikari.
Jika anak hidup dengan adab... dia belajar sopan santun.
Jika anak hidup dengan keyakinan... dia belajar membina jati diri.
Jika anak hidup dengan penghargaan... dia belajar membina maruah diri.
Jika anak hidup dengan kebersihan... dia belajar peka terhadap penyakit.
Jika anak hidup dengan kejayaan... dia belajar erti kebenaran.
Jika anak hidup dalam keselamatan... dia yakin pada diri dan orang lain.
Jika anak hidup dalam kemesraan... dia belajar dunia tempat memberangsangkan.
Jika anak hidup dengan doa... dia belajar apa erti hidup sebenarnya.
Jika anak hidup dengan al-Quran... dia belajar mengenali Tuhan.
Jika anak faham Al-Quran dan Hadis... dia faham apa itu akhirat....
 Ya ALLAH jadikanlah aku anak yang solehah kepada ibu bapaku...jadikan aku hambamu yang mentaatimu...dan jadikanlah anak-anak ku, anak-anak yang soleh dan solehah serta sentiasa mencintai Mu serta agama Mu...Aaammiin....

Monday, 2 January 2012

Aamminn....Aamminn...Aamminn....

Assalamualaikum..sahabat ku..

Permulaan tahun 2012 ....blog yang berwajah baru.....dan ku titipkan doa untuk kita sama-sama mengamalkannya....


Ya ALLAH

kurniakanlah kami dengan keimanan yang sebenar-benarnya
serta keyakinan yang tiada lagi kekufuran sesudahnya
kurniakanlah kami dengan kerahmatan
yang dengannya dapatlah kami beroleh kemuliaan
disisiMu di dunia dan di akhirat

Ya ALLAH

lindungilah agama kami
bangsa kami
dan negara kami
dari dicabuli oleh musuh-musuhMu 
dan juga musuh-musuh kami
kurniakanlah taufik dan hidayah
kepada para pemimpin kami
untuk mencurahkan baktinya kepada kami
serta mendapat keredhaanMu ya ALLAH

Ya ALLAH

ampunilah dosa kami
dosa kedua ibubapa kami
dan kasihanilah mereka
sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kecil lagi
ampunilah dosa guru-guru kami
dan kesalahan sekelian muslimin dan muslimat
samada yang masih hidup atau yang telah mati

Ya ALLAH

jauhilah kami dari kegelapan
kejahilan
serta kealpaan
kurniakanlah kami dengan ilmu pengetahuan
terangilah kami dengan cahaya keimanan
kurniakanlah kami pengetahuan para nabi
dan juga hafazan para rasul

Ya ALLAH

kurniakanlah kami kebahagiaan hidup di dunia
dan kesejahteraan hidup di akhirat
jauhilah kami dari siksaan api neraka


Aamminn...

p/s: doa yang diberikan oleh seorang sahabat kepada ku....semoga kita semua mengamalkannya setiap hari.....